Sunday, December 26, 2010

1 Minggu Lagi...

Termasuk hari ini, ada 7 hari lagi hutang pada diri sendiri yang perlu aku langsaikan. Hutang dalam erti kata aku berhutang tidur yang panjang, makan yang tidak sia-sia dan rehat yang sepenuhnya sebelum aku masuk kerja balik tahun depan.

Dalam pada itu, blurr masih memuncak...Perlukah aku kembali ke pantai yang subhanallah cantiknya atau melangkah ke destinasi yang lain? Ataupun aku menjerat rasa dilokasi yang sama?

Rasa macam nak terus melayan CSI Las Vegas tapi kemunculan Bieber mematikan sedikit mood itu..

Takpe la. Mari membelasah mafia, membunuh vampire dan menanam pokok..

Saturday, December 25, 2010

Penutup 2010

Tahun ini tak begitu meriah untuk aku. Dari segi kerja memang banyak yang besar-besar aku buat. Pendek kata, hampir semua event besar dalam kalender yang dirembat dari HEA dan PnP aku yang produce.

Takde apa yang boleh dibanggakan sangat..Sijil yang KP suruh aku simpan dalam frame emas pun masih elok bersempit-sempit antara celah fail-fail yang menimbun.

Sepanjang 2010, berapa kerat sangat aku cuti wajib yang 30 hari tu. Kalau ada aku berjalan-jalan dan berpoya-poya hanyalah 'book-off' Sabtu/Ahad atau cuti am yang aku ambil. Jadi Disember ini memang aku hendak mengembara ke tempat orang. Nak harap jabatan hantar, macam nak bina jambatan emas dari kantin ke Wisma TV ajelah jawabnya..

Destinasi tahun ini - Thailand atau Vietnam..atau kedua-duanya. Lagi best dapat tengok Full Moon Party dan menyaksikan walk of shame keesokan harinya.Party baby!

Wednesday, October 13, 2010

Oktober : Banyaknya Program Besar..

Kejap aje nak masuk pertengahan Oktober. Betul la teori aku kesibukan akan menyebabkan masa cepat berlalu. Selaras dengan cepatnya masa berlalu, maka bertambah cepatlah usia meningkat dan semakin stress aku memikirkan banyak benda aku belum capai.

Perasmian Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama 2010 selamat berlangsung. KSN Annual Lecture pun dah selesai pagi tadi. Simulation Bajet 2010 akan dibuat esok, dan petang tadi aku sudah berbincang dengan Akmal dan Syaza cara terbaik dan praktikal dalam membentuk team editorial yang semenggah. Insyaallah berjaya dengan kerjasama mereka.

Malam ini aku dah mula rasa tak sedap badan. Sebenarnya dari balik Bukit Kiara tadi aku dah mula rasa pelik-pelik. Pelik-pelik mcm rasa badan exhausted melampau, mengantuk dipertengahan hari dan suhu badan turun naik. Itu maybe sebab cuaca tak menentu.. Pernafasan rasa stabil tapi kalau aku push lagi ada potensi aku shut down seketika.

Emosi dan jiwa raga sedikit terganggu apabila masa aku baru aje nak lelap jam 12.30 tengah hari tadi aku diminta menjelaskan satu perkara - yang tak ada kena mengena dengan aku pun. Dalam mamai-mamai aku pergi juga...takde apa sebenarnya. Cuma aku tak mahu terkait dengan perkara yang aku dah surrender lama dah...

15 Oktober ini, aku akan terlibat dalam pembentangan bajet utk siaran TV1. Selepas bajet, liputan Persidangan UMNO pula. Aku memikirkan untuk mengambil 'book-off' minggu selepas program itu selesai. Tak larat rasanya 7 hari seminggu dan lagi, dan lagi tanpa henti.

***

Satu banting program raya masih ada di lobi Wisma TV. Aku rasa nak terbalikkan aje setiap kali melintas, dan terpandang wajah itu.

Saturday, October 9, 2010

Seri Perdana

Kerana First Ladies Summit, ia membawa aku kembali ke Seri Perdana lepas hampir 3 tahun tidak ke sana. Pertama kali ke sana adalah masa menjadi AP Atan Lut untuk ucapan raya Pak Lah.

Seri Perdana cantik indah tersergam..Aku bersyukur berpeluang menjejak kembali tempat ini..
(Sekadar catatan ringkas..)

Esok akan kembali untuk set-up.

Friday, October 1, 2010

Terima Kasih Atas Penghargaan..


Kadang-kadang, kita buat kerja dan mengharapkan kerja itu mendapat balasan.
Kadang-kadang juga, kita buat kerja dan tak mengharapkan apa-apa.
Selalu, aku buat kerja dan mengharapkan tidak ada masalah teknikal dan penerbitan yang akan timbul...Serius!

Aku banyak buat siaran besar tahun ini. Ia adakalanya/selalunya menyebabkan masa untuk menulis terbantut. Kalau pun ada masa, aku tak mahu tulisan itu nanti mengecilkan hati pihak-pihak yang pernah berurusan dengan aku. Percaya atau tidak, cantik diluaran kadangkala masalah-masalah sebelum siaran menyebabkan aku memangkah beberapa muka yang cakap aje pandai...Hasil memang ado!

Menyelaras 3 sambutan Merdeka, termasuk Perayaan 1Malaysia memang meninggalkan sejarah dalam hidup aku yang boleh dikategorikan 'nobody'. Sambutan Kemerdekaan ke-53 di Bukit Jalil 31 Ogos lalu antara yang terbesar yang pernah aku bayangkan, berjaya aku terbitkan dengan jayanya. Menyelaras Perayaan 1Malaysia di Kota Kinabalu juga begitu. Di kala orang lain masih berjengga-jengga di pagi Syawal aku dan krew RTM Sabah sibuk dengan persiapan siaran langsung. Banyak yang berlaku - aku simpan saja sebab kalau korang tengok di TV jelas nyata masalahnya apa.

Untuk itu, aku sangat berterima kasih kepada Datuk Tiger atas sijil penghargaan yang diberi. Kalau ikutkan, aku menolak dan malu untuk menerimanya atas sebab-sebab yang dinyatakan. Kerana Menteri pun menyedari 'kepantasan bertindak' oleh SEMUA yang terlibat, aku naik juga menerima sijil mewakili team penerbitan.

Apapun, terima kasih sekali lagi..
terima kasih Menteri,terima kasih Datuk KP, terima kasih RTM dan terima kasih kesemua krew RTM Sabah yang terlibat.

Sunday, August 22, 2010

Minggu Sibuk Bermula Esok

23 Ogos :
Mesy. Penyelarasan Merdeka. Aku tak buat agenda lagi, semuanya dalam otak tapi tak disoft-copykan lagi..Jap lagilah lepas main game/layan House atau lepas sahur :)
Jangan lupa amik tiket flight dan booking transport ke KLIA..Jangan lupa jugak transport bila sampai di KK.
Mana la nak tinggal kat KK nanti dalam keadaan diri tak mampu nak bayar Hotel Promenade (nak yang best ajer...)
Dan aku kena siapkan agenda meeting juga untuk mesyuarat di RTM Sabah nanti...

24 Ogos :
Babai KL...Berbuka di sini la jawabnya...takpe, berbuka awal. Mana nak tinggal?

25 Ogos :
Mesyuarat Perayaan 1Malaysia dengan RTM Sabah. Sabur dan berbuka di sini.
Malam ini OB 2 parking di Stadium Bukit Jalil. Running order tak siap lagi huawaaa...wa...wa..

26 - 29 Ogos :
Rehearsal Sambutan Kemerdekaan...

31 Ogos :
LIVE Sambutan Kemerdekaan..memikirkan ia saja dah mampu membuatkan aku nebes..nebes sangat.

Tuesday, August 17, 2010

Julai - Ogos Yang Sibuk

Aku takde masa langsung nak update apa yang jadi masa Perbarisan Hari Pahlawan hari tu. Tapi percayalah, kalau aku nie emosi dan hamburkan semuanya kat dalam blog nie pasti ramai yang panas punggung dan melantun. Bagi pihak aku, kami dah buat yang terbaik dan menyelamatkan keadaan sebaiknya. Tqs pada krew yang terlibat dan terima kasih kepada SA ganti..

Habis aje siaran langsung, aku terus berkejaran ke KLIA pulak untuk opening Merdeka di Perlis. 2 malam di sana, terus balik KL sebab ada mesyuarat Merdeka. Sibuk giler, dan penat yang teramat.

Disebabkan pancit, 3-6 Ogos aku book-off dan berpoya-poya untuk refreshing segala organ-organ yang tersumbat. Terima kasih kerana bekalan DVD haram bakal membuatkan hari-hari malam aku ceria kembali..Tiba masanya untuk cerita baru, asyik re-run bosan jugak..

Bulan nie aku sibuk dengan mesyuarat Merdeka..esok pergi stadium lagi untuk selaraskan keperluan dengan TV3..Penat seh..!

Wednesday, July 28, 2010

Rehearsal 1 : Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan

Seawal 6.30 pagi aku dah ada di RTM. Awal tu call time...maklum aje nak ke Dataran Merdeka yang sepelaung tu makan masa yang panjang kalau berlaku kesesakan apatah lagi kalau jalanraya di sana mulai ditutup berperingkat-peringkat. Tak tunggu lama, sekitar 6.40 pagi transport terus menderu ke lokasi sebab konsepnya - lambat tinggal!

Selepas bersarapan dan melakukan briefing ringkas, kesemua krew RTM yang terlibat terus cargas ke lokasi masing-masing. Memandangkan sambutan ini kali pertama dilakukan di Dataran Merdeka, aku tak dapat sangat nak membayangkan apakah rupa-paras sambutan ini. Dalam kepala otak aku membayangkan, mungkin perbarisan ini akan menjadi seperti perbarisan mengarak panji-panji.

Memang jauh bezanya....jadi bersesuaian dengan rehearsal pertama memang berterabur kamera cutting tadi. Masa ini barulah nak nampak apa sebenarnya yang akan berlaku. Jadi aku yakin esok akan lebih cantik dan kemas. Cumanya aku agak terkilan kerana tidak dapat menggunakan C2 sepenuhnya sebab C2 dah kena blocked dengan platform tentuang.

Jadi C2 dipindahkan untuk mendapatkan shot yang lebih cantik dan berguna. Esok aku update menjadi tak posisi baru dengan ketinggian platform baru.

Sekian.


Tuesday, July 27, 2010

Set-up Perbarisan Hari Pahlawan 2010

Hari ini aku sangat pancit...dalam ertikata berkejar-kejaran dari RTM - Dataran Merdeka - RTM - Dataran Merdeka - RTM. Pancit geng...hilang kederat 100m zaman kanak-kanak dulu.

Hari ini aku set-up untuk program Perbarisan Hari Pahlawan 2010. Sambutan kali ini berbeza dengan tahun-tahun yang lepas. Namanya pun dah lain. Dulu ia dikenali dengan Istiadat Meletak Kalungan Bunga Sempena Hari Pahlawan dan ia dibuat di Tugu Negara. Pendek kata, ini adalah format baru sambutan sempena mengenang prajurit-prajurit tanahair yang telah berkorban untuk kemerdekaan negara kita.

Tak sempat selesai masalah set-up, aku dihujani panggilan telefon pulak. Biasalah bila event besar macam nie ramai yang akan telefon minta informasi dan bertanya macam-macam soalan. Jelasnya aku antara manusia yang sibuk menjelang sambutan ini. Tiba-tiba pulak aku dihubungi bos bertanyakan program besar yang satu lagi. Macam lipas tanah aku cargas balik ke RTM dan cuba menyelesaikan apa yang berbangkit.

Kadang-kadang orang tak tahu masalah penerbitan apa. Senang cakap dan bagi pendapat peribadi tapi tak ramai nak membantu. Jadi aku sempat menyimpan motto ini dalam hati - believe in god, trust no one!

Bukan mudah jadi penerbit, dan bukan mudah jadi eksekutif (kecuali mereka yang atas nama aje..) Aku buat dua-dua. Kadang-kadang aku pun tahu semput. Apa yang buat aku bersyukur ialah aku suka kerja nie..Jadi yang lain-lain tu anggaplah macam langau...

Esok rehearsal pertama...esok aku cuba update lagi.

Friday, July 23, 2010

Recce Yang Meletihkan

Khamis lepas aku sangat letih. Program Kibar Jalur Gemilang akan dilancarkan di Stadium Utama, Kangar dan Khamis itu aku balik hari KL-Kangar-KL untuk recce program terbabit.

Penerbangan jam dijadualkan 1355. Sebelum jam 1200 aku dan Shahzil dah sampai di KLIA. Sempat kami makan ala kadar memandangkan harga makanan di KLIA bukan main mesra poket lagi nilainya. Ingatkan cepatlah sampai Perlis dalam keadaan kami naik kapal terbang. Penerbangan delay plak sejam..Aduhai......makan hati aku menunggu.

Sekali lagi kami melepak di port yang sama. Kali ini Amir, pereka set memeriahkan sessi lepak kali ke-2. Memandangkan beliau memilih untuk pergi sendiri ke KLIA, kami jumpa di situ saja. Punyalah sakan bersembang, tanpa sedar nama aku sudah kena panggil dengan pembesar suara. Tak pernah dalam sejarah aku lewat boarding he..he..he..

****

Sekitar 1655 kami tiba di Alor Setar dengan disambut oleh pemandu cum DJ dari RTM Perlis. Jai namanya..orangnya baik, bersopan..pendek kata yang baik-baik itu semua ada pada dirinya :)

Stadium Kangar nampak baru..ialah, baru cat. Sakit hidung aku dengan bau-bauan yang tengik menusuk kalbu. Tinjauan lokasi berjalan lancar dan TP, Che Mat sudahpun menunggu kami bertiga dengan B&H yang tersisa. Recce berjalan lancar...tapi aku mulai rimas-rimas sebab baju sudah basah dengan peluh tak diketahui jantan betinanya..Hari pulak panas berdengkang..Dalam keadaan macam ini, dapat sirap ais kenduri kahwen pun dah kira alhamdulillah...

Sebelum kami kembali ke Alor Setar, Jai bawak kami makan sate disalah satu kedai area Kangar. Sumpah sedap sate makcik tu..Aku rasa aku makan tak lari 20 cucuk sate! Kena pulak dengan teh ais pekat yang sedap amat membasahkan tekak yang teringin minuman dingin. Hilang letih kejap..

Sesudah itu, perjalanan diteruskan ke Alor Setar. Penerbangan kami penerbangan terakhir. Terasa berkejar-kejaran dari satu tempat ke tempat lain. Tapi aku tak sempat lelapkan mata masa penerbangan balik. Mungkin kerana aku terlalu kusyuk membaca Utusan Malaysia ataupun sebab jiwa raga aku dah sampai PJ Oldtown dulu..

Letih geng...Jumaat pulak aku kerja macam biasa.

Wednesday, July 21, 2010

Kembali Untuk Bagus 2


Kadangkala kembali aktif dilaman ini satu perkara yang menyakitkan. Maksud aku, aku masih lagi terkesan dengan kehilangan rakan sekerja. Duanya aku malas menyatakan betapa bebalnya berhadapan dengan mereka yang berpangkat bergantang-gantang tapi menzahirkan kebodohan secara nyata dalam setiap program/mesyuarat yang aku hadiri/terbitkan. Juga..sekali sekala emosi aku sangat serabut dengan masalah peribadi..Cumanya kala itu aku tidak mahu menghamburkan ia di sini atas kekangan tertentu.

Hari ini...sebenarnya minggu ini jalan aku dipermudahkan Allah swt. Aku tahu walaupun kadangkala aku terkhilaf, aku tidak dilupakan. Jadi minggu ini lagaknya seperti semalu yang kembang selepas disentuh, aku kembang kembali :)

Lapang masa tersisa selepas bermesyuarat ringkas dengan Sayed Munawar berkenaan Istiadat Sambutan Hari Pahlawan yang bakal aku terbitkan minggu depan membawa jejari menyelongkar Google. Aku tak tahu aku cari apa...Yang pasti, aku seperti YB yang melawat kawasan. Sampailah aku tersinggah ke satu laman blog...

Mula-mula sekadar bacaan ringan tapi dah lama tu aku macam terkejut sendiri. Rasanya, aku kenal penulis blog itu..Kami tak rapat mana tapi cukup untuk aku ingat beliau sebagai seorang abang masa aku berkerja disebuah stesyen TV swasta sekitar 2004..

Aku baca dari mula catatan sampai catatan terkini. Aku akui, aku sayu...sebabnya cerita beliau mcm gambaran perjalanan hidup aku sekarang.

Tolak emosi celaru yang aku rasa..Nyatanya aku terasa sedikit bernyawa..Tanpa sedar aku kembali untuk bagus....kali kedua. Semoga garuda yang cuba menggegar atap rumah aku fed-up dan kembali ke gunung mencari ketenangan di sana.

Wednesday, June 23, 2010

Azaha Rasadi Dalam Kenangan...


Sejak aku masuk unit UESTV sekitar tahun 2007/2008, aku rasa macam payah amat aku nak berkawan dengan manusia di sini. Sebabnya mereka semua kerja macam lipas...Cepat nampak, dan cepat hilang disebabkan sibuk dengan hambatan tugas masing-masing.

Disebabkan aku penerbit, makanya hubungan aku dengan penerbit SPM cepat terbina - sebab kami banyak mesyuarat. Dan kerana mesyuarat yang bergantang-gantang itu aku cepat kenal dengan mereka, termasuk Azaha Rasadi. Kalau tak silap aku, zaman aku masuk dulu beliau adalah penerbit yang menerbitkan segmen senaman..
Dan kerana satu keserasian lain, kami sering melepak di pot luar bersama beberapa sabahat-sahabat lain.

Arwah sangat baik.....baik sampai aku tak boleh nak cari apa perbuatan arwah yang membuatkan aku ada isu dengannya. Tak ada...zero! Arwah sangat baik...dan kerana baiknya arwah aku tak dapat nak ungkapkan apa yang aku rasa sekarang sebab aku sangat sedih dan aku menangis macam budak-budak :(
Dan ungkapan yang banyak aku dengar akhir-akhir ini - kenapa orang yang baik cepat sangat pergi kepada-Nya... :(

Aku akan ingat arwah sebagai sabahat yang baik. Aku ingat beliau sebagai abang yang baik...dan aku ingat dia sebagai penerbit rancangan yang hebat. Ingat makan malam besar-besaran di Melaka sekitar Mac dahulu? Arwah yang buat...dan syot yang beliau ambil macam bermain-main dikepala otak aku sekarang nie.


Azaha, damai di sana....

Monday, April 12, 2010

Sangat Letih..

Tidur hanya 2 jam. Pukul 5.30 pagi dah bangun dan bersiap ke pejabat. Hari ini ada meeting dengan Bomba Melaka dan 2 tinjauan lokasi yang perlu aku buat. Mengantuknya tak payah cakap la..Nasib baik ada kopi pembekal tenaga dan juga bekalan-bekalan lain untuk jadikan badan aku sihat, bertenaga dan fit.

Melaka sangat paaaanas! Aku separuh migrain seharian di sini.

Mesyuarat pula cuba untuk mencapai keputusan untuk memudahkan semua pihak. Apa juga, aku akur dengan keputusan penganjur dan pejabat aku sendiri.

p/s : kali pertama aku sampai di MITC..esok meeting pilihanraya. Aku dah mula muntah-muntah. Sangat tak best perasaan ini..

Thursday, April 8, 2010

Pandai vs Tunjuk Pandai

Pic yang sama aku guna dalam 2 blog yang berbeza...


Aku percaya dalam apa juga kerja kita kena ada perancangan. Walaupun ada istilah ad-hoc ataupun terkejut, kita sepatutnya ada perancangan menghadapi situasi itu. Pokok pangkalnya, kena ada perancangan.

Apabila jadual tidak difahami, ia bukan sahaja menyusahkan orang ramai. Malah mendatangkan benci dan disusuli dengan caci maki bergantang-gantang banyaknya. Begitu juga tanpa memberian tugas yang nyata, akan mendatangkan ketidakpuasan hati kepada insan bertuah yang tak pasal-pasal dibebankan dengan kerja orang lain.

Jadi tadi aku membuat satu jadual....Bukan sahaja untuk bulan April, malah untuk bulan Mei pun aku buat terus. Kalau ada job last-minute masukkan sahaja di dalam jadual itu untuk perhatian manusia-manusia yang terlibat.

Kenapa aku yang buat?? Hahaha...sendiri mau ingat la...Mungkin sebab aku pandai buat jadual. Mungkin juga sebab aku tunjuk pandai skill pentadbiran. Ataupun aku terlalu banyak masa sampai ada masa membuat jadual. Ataupun aku tak suka dibebani kerja last-minute. Atau aku tak suka mengganti kerja orang lain tanpa tahu hujung pangkal.. Ataupun aku mengelak mati terkena darah tinggi sebelum waktu..

Pilihlah yang mana.........sama saja!

Wednesday, April 7, 2010

Cyberjaya Oh Cyberjaya...


Dalam tahun 2010 ini sahaja, sudah 2 kali aku sampai ke sana. Itu pun sebab ada mesyuarat. Seumur hidup aku, memang takde kepentingan dan keperluan yang menghambat aku ke sana.

Dan dalam tempoh itu, 2 kali aku sesat...Kali pertama sesat sampai masuk estet. Tadi pun aku sesat juga. Tapi tak lama..Kerana apabila kita tidak malu bertanya, kita tidak sesat jalan..

Monday, April 5, 2010

Bastion Middleburg

3 April 2010, aku ke Melaka untuk x-0ver berita Perasmian Bastion Middleburg dan Pelancaran Puisi Niah. Gambar di bawah ialah gambar dari The Star, yang aku search di internet. Aku tak berpeluang mengambil gambar sebab terlalu sibuk semasa hari kejadian.


Bastion Middleburg semasa pembinaannya...

Persoalan pada aku hanya satu - Kenapa Bastion Middleburg? Kenapa tidak Kubu Middleburg, Benteng Middleburg ataupun Kota Middleburg?

Errr..sesuai tak Kuala Kubu Baru jadi Kuala New Bastion??

Errr....

Friday, April 2, 2010

Hmm..Malas!

Sangat malas memblogging apabila bahan yang nak aku tulis itu tidak mempunyai gambar yang berkaitan..Akhir-akhir ini kerja sangat rumit. Apabila aku melebihkan masa bergambar tengah sibuk berkerja, sangat tak elok dipandang krew yang terlibat..Lain kali aje la ya, bila tak berapa mendesak...

Monday, February 8, 2010

Pelancaran Pameran Bergerak Koleksi Khas Tunku Abdul Rahman

Selepas 2 hari bertungkus-lumus di Jerlun, krew yang sama terus cargas bergerak ke Rumah Merdeka, Alor Setar. Cuaca masih panas...kepala aku pulak migrain sekejap-sekejap. Kami di sini untuk x-over berita sempena Pelancaran Pameran Bergerak Koleksi Khas Tunku Abdul Rahman.


Siaran berjalan lancar..He..he..he..adalah kesilapan teknikal yang aku tak sengaja buat. Tapi siapa yang tahu, tahulah. Sebagai seorang gentlemen, aku mengaku memang salah aku pun. Tak guna menegakkan benang yang basah dan memperbodohkan diri dengan tidak mengaku kesilapan yang kita buat.



Aku bersyukur hampir seminggu di Kedah semuanya berjalan seperti yang direncanakan. Balik dari Kedah, hari ini seharian aku tertidur. Kepala pun berat lain macam. Tak tahu sebab banyak sangat tidur ataupun panas cuaca semalam masih memberatkan kepala ini...

p/s : Gambar di sini dimbil di sini. Foto oleh : Muhammad Zulfadli Selamat

Saturday, February 6, 2010

Juara Rakyat - Jerlun, Kedah



Hari kedua aku di sini. Cuaca sangat panas.........Sungguhpun begitu kerja tetap dilakukan seperti semalam. Mungkin sebab semalam semuanya ok, jadi x-over hari ini berjalan lancar..

Orang ramai membanjiri padang SMK Sanglang. Punyalah ramai...sampai semua kedai yang menjual air diserbu orang. Kempunan kejap minum air berais sebab malas nak beratur...

Hmmm...apa yang best selain siaran lancar. Aku dapat bergambar dengan Datuk Mukhriz Mahathir. Dengan TPM pula hanya sempat say Hi dari dalam kereta ajer...

Cuaca sangat panas...oh, aku dah ulang 2 kali. Terasa macam nak demam. Tadi set-up di Rumah Merdeka untuk x-over Hujung Minggu Malaysia (HMM) dan berita..


Ok la, masa untuk rest. Ish, time-time macam nie mengidam neskepe plak :)

Friday, February 5, 2010

Kerja Jadi Seronok Kalau Kita Seronok Kerja

Kalau kita tak seronok kerja, buat benda yang mudah pun terasa membebankan. Itulah kata-kata penyedap hati yang membuatkan aku bertapa dari arena penulisan. Sebab kalau aku cerita benda yang tak seronok di sini, akupun tak seronok menulis dan yang membaca pun tak seronok membaca.

Bermula minggu lepas, secara rasmi aku ditempatkan di Unit Siaran Langsung. Sepatutnya 15 Januari aku melapor diri. Tapi kerana aku bercuti di Medan, Indonesia demi menghormati hari kelahiran yang ke 'tuuuut' maka aku terlewat seminggu 2 hari. 2 hari sebab sepatutnya aku dalam tempoh kuarantin. Demi kaseh sayang dan rasa cinta pada kerjaya ini maka aku datang juga melapor diri.

Memang cun.....pagi lapor diri, petang terus pergi recce di Dataran Merdeka untuk Sambutan Hari Wilayah. Petang pulak terus set-up di Kuala Lumpur Convention Center untuk pelancaran Transformasi Kerajaan oleh YAB Perdana Menteri dan esoknya terus buat siaran..

Lepas itu, terus ke Pekan, Pahang untuk pelancaran Digital Pekan 1Malaysia...macam-macam teladan aku dapat di sana selain lebih memahami cara kerja di unit baru ini..

****

Hari ini pula aku di Jerlun, Kedah untuk pelancaran Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Kedah. Aku ke sini bersama Siti Murni Abd. Aziz dan membawa bersama pengacara Ikon, Shahril. Esok pula pelancaran oleh YAB TPM.

Akan datang aku tak tahu kat mana...tapi bersedia ajelah :)
p/s: Takde pic nak load...kalau ada nanti-nantilah aku buat...