Monday, October 22, 2007

Pertama Lebaran Ini

Baju Raya?
(Photo Taken By Al Hadi)

Hari ini sudah 10 hari kita beraya. Dan aku masih culas untuk mengganti puasa yang lompong di mana-mana. Tahun ini, kali pertama aku beraya sebagai isteri kepada Al Hadi, lelaki idaman Malaya. Sayu..sedih..lucu pun ada sewaktu tangannya ku genggam memohon maaf dan kucium berkali-kali untuk menghapus dosa yang ada (walaupun kata Hadi aku tak ada dosa dengan dia sampai bila-bila..)

Banyak juga wang yang aku belanjakan tahun ini, baik untuk duit raya ataupun berpoya-poya. Untuk kakak, aku belikan compact powder ZA dan lipstick sebagai hadiah raya. Adik-adik lain pula aku belikan rantai leher. Melayut-layut leher masing-masing dengan rantai baru, termasuklah mama, kakak dan aku sendiri. Buat mama, cadangnya aku nak belikan kasut raya, tapi rupanya kalau boleh mama nak jam tangan. Hmm...di Jaya Jusco Wangsa Maju itu aku bawa mama ke kedai jam di tingkat 1. Lama juga memilih jam yang bersesuaian. Jangan tak percaya, jam baru nak aku jenama Crocodile! Aku pun pakai jam cap ayam aje. Happy la semua orang hari tu...

Raya pertama, aku berjaya mengheret Hadi beraya dirumah aku. Punyalah diktator...setiap rumah saudara mara yang aku kunjungi semuanya tersenyum sumbing bila aku kata tahun nie apa-apapun kena raya belah aku dulu..Very the Minang lady! Raya pertama saja, hampir 8 buah rumah kami kunjungi. Nasib baik aku dan Hadi tak ikut Mama beraya. Mahu buncit perut kami tahun nie beraya rumah saudara-mara yang ada. Rumah terakhir yang kami kunjungi ialah rumah Odah. Nekadnya tak mahu makan, minum air panas dan makan kuih raya sahaja. Mana mahunya.....Ayam masak tomato dan nasik briyani depan mata. Bedal secukupnya..

Balik dari situ, terus kami memandu ke Batu Gajah, Perak. Cheh, konon kami dibekalkan dengan walkie talkie untuk memudahkan konvoi. Proton Iswara vs BMW. Tercirit le kami dibelakang..Aku dan Hadi dah mengantuk sangat. Kalau tidur kat highway pun kami tak kisah. Syukurlah kami selamat sampai dan terus bongkang sampai ke pagi dek kerana keletihan dan kemengantukan.

Merayau la ke rumah Abang Joi. Wah, menu sate! Apa lagi, aku dengan selambanya duduk kat tempat membakar sate. Seorang perempuan pulak tu. Tak peduli..merasalah makan sate sepuas hati...

Cuma malamnya tak berapa best..Ada sentimen keluarga di mana-mana. Justeru esoknya aku dan Hadi terus balik ke Melaka. Sebelum tu, kami singgah di rumah Areen dulu sebab Adaha pun ada di KL. Aku. Hadi, Areen, Adaha, Omar, Jack dan Jidin bersembang macam dah kenal berpuluh tahun. Kesian Jidin mendengar siaran ulangan 8 kali tentang 'so-called'. Sayangnya Zaiman tak dapat join kami sebab member tu masih berhari raya di kampung...

Selepas kenyang makan Dominos Pizza, aku dan Hadi meneruskan perjalanan ke Melaka. Mengantuknya...Ntah berapa kali aku terlelap. Aku tak ingat pukul berapa kami sampai. Nyatanya selepas kepala nie landing kat bantal, aku hanyut terus ke alam mimpi.

Ingatkan habis di situ, esoknya pula kami terus ke Johor baru. Inilah kali pertama aku menjejakkan kaki ke sana. Boleh dikatakan satu Malaysia aku dah pergi, kecuali Johor. Lebaran ini sampai juga aku ke sana..Kami lepak di rumah abang Hadi. Malamnya dibawa ke Plaza Angsana dan Danga Bay. Biasa saja rupanya Plaza Angsana..Hari kedua di JB aku dan Hadi sangap nak mampus. Kesudahannya mari merayau di JB Leisure Mall dan tengok filem Chuck & Larry. Best jugak ceritanya. Balik dari tengok wayang, aku menggatal pulak nak memanjakan badan. Singgahlah kami di sebuah salon di Tampoi. Fuuuh....nyaman badan dibuatnya! Tak sia-sia bayar mahal..

Esoknya, sebelum balik ke Melaka kami singgah di rumah Makcik Ella. Sempoi gile dia dan suami, Pakcik Zul. Sudahnya semua orang tahu ini kunjungan pertama aku ke JB. Dan kami balik dengan kekenyangan sebab Makcik Ella menjamu kami makan tengah hari..

Di Melaka pula aku berkesempatan untuk ke funfair..Fun, tapi tak fair. Aku dapat hadiah card game kartun apa ntah. Sudahnya aku sedekah pada budak lelaki yang kebetulan lalu depan mata aku..

Kebetulan di Melaka diadakan MATTA Fair. Panjang kisahnya..Aku akan ceritakan di blog yang lagi satu. Kesimpulannya, macam-macam jadi lebaran tahun ini. Ada yang sensitif aku diamkan sahaja. Untuk yang membaca, Selamat Hari Raya!

No comments:

Post a Comment