Wednesday, March 26, 2008

Ruang Lingkup Ini


Hampir beberapa hari aku terfikir, kalau kesunyian itu begitu merantai, kenapa kita dikurniakan tuhan perasaan yang menyakitkan ini? Dan seringkali perasaan itu begitu menghantui sampaikan aku seringkali tersungkur olehnya. Penjaga hati selalu berpesan pada aku setiap kali aku berada diruang lingkup ini 'everyday is a new day..' Lupakan kesah semalam dan fikirkan masa depan. Tak boleh tidak, aku selalu memandang ke belakang dahulu, sebelum memandang ke depan. Walaupun sakit, itu yang menjadikan aku nampak hitam putih kehidupan. Sama ada aku menjadi lebih baik atau tidak, itu soal kedua.

Macam pelari terakhir dalam acara 4x100 meter. Aku tetap memandang ke belakang sebelum menyambut baton dari pelari ke-tiga. Sebagai sprinter, penyudahnya di tangan aku. Kalau team aku mendahului semua pelari lain, automatik emosi aku begitu kukuh untuk menyudahkan larian sekaligus meranggul emas untuk semua. Belum ada sekalipun ada pelari lain yang berjaya memintas seselarian emosi dan kesungguhan aku menyudahkan larian. Tapi bagaimana pula tatkala aku menerima baton itu, aku ditinggalkan oleh team yang lain? Ada lagikah keazaman untuk menyudahkan larian meski untuk merebut sebutir perak atau gangsa?

Aku mungkin sudah tahu kesudahan episod pertandingan tadi. Tapi, tak boleh tidak - harapan menggunung semua ditangan aku. Inilah miricle marvell yang diharapkan untuk mengubah situasi. Baton dicapai, aku perkemaskan larian dan satu demi satu pesaing aku tinggalkan. Bilakala semangat itu begitu menggila, aku pernah mengejar sisa-sisa pelari lain dan akhirnya meninggalkan mereka. Dan disitu, tatkala dada aku mencecah riben penamat, aku sedar tiada yang mustahil dalam hidup ini.Sorakan bergempita di mana-mana. Aku dijulang, bendera berkibaran dan guru pengiring tersenyum riang. Kawan-kawan lain memeluk aku dan mengucapkan terima kasih. Terima kasih? Kenapa bukan Well done?

Still..dalam riuk pikuk itu, ada juga kesunyian yang menjelang. Saat aku pandang kiri-kanan dan fade off audio di arena, barulah aku sedar. Aku dipuja dan dipuji kerana aku membuatkan hati mereka gembira. Aku tunaikan harapan dia untuk satu kemenangan. Aku buatkan sorakan mereka berbaloi. Tapi khalayak tahukah apa yang aku rasa? Mana nak tahu..Kalian tidak pernah merasa berlari dengan pasukan yang berada dalam keadaan mereka memakai kasut paku, dan aku pula berkaki ayam! Paling menyagat jiwa, dalam episod pintas memintas, kaki aku berselisih dengan paku-pakis mereka. Yup..kaki aku cedera. Hati aku turut cedera kerana masa itu aku tak mampu untuk membeli kasuk spike yang harganya lebih kurang RM 150 sekitar awal 90an. Tapi kerana kemenangan tadi, melenyapkan semua kesakitan yang ada.

Bagaimana kalau aku gagal membuatkan hati-hati keliling aku gembira. Aku calarkan dengan perkataan yang disalahtafsir, aku minta satu penjelasan dengan struktur dan gaya bahasa yang tidak dapat diterima umum. Then What? Melontarkan frasa maaf? Maaf berkali-kali sampai merasa betapa kerdilnya manusia ini...Bersedih-sedihan meminta maaf pada manusia sedangkan dosa-dosa yang saban hari aku kumpul pun jarang ditangiskan airmata memohon kemaafan dari-Nya. Then What?

Banyak benda yang membuatkan aku berperasaan seperti ini. Aku pelik, mana perginya aku yang dulu? Yang jiwanya kental..Buat apapun tak kisahlah walaupun langit menjadi sempadan (aku masih kunyah kenyataan ini sesungguhnya..) Jiwa yang begitu ampuh kini rapuh! Aku menyesali nasib ibubapa yang ditinggalkan anak di Rumah Seri Kenangan. Aku bersimpati dengan anak-anak kurang upaya di Rumah Ehsan. Aku melalui kesedihan yang sama dengan anak-anak yatim Hulu Kelang. Aku takut dengan masa depan orang melayu selepas PRU 12. Aku ngeri memikirkan menjalani operation dalam waktu terdekat. Membayangkan nasib palestin juga boleh membuatkan aku berdoa selamatkan dunia dari kekejaman yang berleluasa. Aku sedih sekiranya setiapkali aku bersiaran, aku gagal buat yang terbaik untuk diri aku.Mungkin aku takut pada perkataan gagal kot? Hmmm...Then What?

Inilah..bersendiri di ruang lingkup. Mengimbas kembali subjek dan predikat yang menyebabkan jiwa aku berkecamuk. Menyibukkan diri dengan menyusun kata-kata. Memaksa fizikal melakukan aktiviti. Mengepam jantung dengan nikotin dan fluid. Still, otak aku masih berlegar-legar memohon dapat kiranya dilepaskan perasaan yang begitu pedih ini. Tapi aku pupuk juga rasa ketidak apaan. Kerana aku telah mencuba walaupun aku masih gagal. Daripada aku menyesali semuanya dan tidak mencuba mengubah apa-apa.

Ada yang bertanya, kenapa banyak kesedihan yang dihamburkan. Dalam keadaan 27 tahun bernafas dibumi ini takkan tak ada moment-moment indah untuk dikongsi bersama? Aku pun bertanya soalan yang sama pada alam. Setelah aku kehilangan kata-kata hampir 1 jam 14 minit memikirkan jawapan di atas : -

Yup, sedih, duka lara, nestapa, gering, kecewa, gelisah dan yang sealiran dan seanekdot dengannya membawa konotasi yang hampir sama. Tapi tak bermakna bila aku selalu merasainya, aku begitu lemah. Rasanya lebih hipokrit untuk aku tidak mengakui sebenarnya aku berada dalam misery dan memomokkan khalayak dengan jenaka-jenaka semasa. Aku mempunyai perasaan sebenarnya....Untuk ceritera yang paling indah dan kadangkala moment yang berharga, mungkin tidak berbaloi untuk diceritakan. Memadai sesama sendiri yang memahami.

Aku tak mahu bila aku dibukakan white wine dalam hati aku sebenarnya menginginkan red wine...

No comments:

Post a Comment