Baru-baru ini aku ke mahkamah untuk menyelesaikan kes tuntutan harta arwah abah yang tertinggal. Hanya aku, mama dan Ali yang ke kamar bicara. Kakak tak dapat hadir sebab anak-anaknya bersekolah, sementelah dia baru sahaja bersalin. Jadi kami bertiga pergi dengan harapan kes ini selesai segera.
Kesnya agak rumit..Sebidang tanah atas nama arwah, yang menjadi tuntutan saudara mara lain atas sebab mereka menetap di situ. Ikut hukum dan undang-undang, ia menjadi harta balu dan anak-anak. Tapi sebab kami sendiri pun tak kuasa nak panjang-panjang dan mengeruhkan keadaan, kami semua terpaksa menunggu keputusan mahkamah.
Isunya, keluarga aku kena serang dan macam-macam cerita karut keluar. Mungkin ayah aku dah cagar tanah tu la, mak aku melewatkan hal ini ke mahkamah dan lain-lain cerita karut zaman-berzaman semuanya dibongkar kembali. Sayangnya masa kejadian itu, aku dan suami sedang bercuti dan menyambut hari lahir aku di Pulau Pangkor, Perak. Apapun, aku bersyukur sebab Ali ada semasa peristiwa ini terjadi. Setidak-tidaknya, dia dapat mengawal keadaan.
Di kamar bicara, aku biarkan Ali dan mama meluahkan pendapat dia kepada tuan yang bertugas (tak pasti, hakim atau majistret). Pening juga kepala tuan itu mendengar cerita ini. Diringkaskan, wang tanah dari kerajaan negeri itu dibuat atas nama arwah. Secara automatiknya, ia dimasukkan ke Amanah Raya dan perlu menunggu semua waris mencecah usia 17 tahun, barulah boleh dituntut. Kami dinasihatkan mendahulukan wang sendiri dahulu, yakni 2 bahagian adik-adik aku yang belum berumur 17 tahun. Kira-punya-kira, dekat 24k jugalah perlu disediakan jika kami mahu kes ini selesai segera.
Aduh, aku dah tepuk dahi! Itu habis cara yang boleh diguna untuk menyelesaikan konflik rumahtangga ini. Dan bila aku memberitahu hakim tentang sesuatu situasi (agak sensitif untuk ditulis), tuan itu bersetuju itu cara yang terbaik dan meminta aku dan Ali berbincang tentang pelaksanaannya. Mak aku dah mula beremosi..Aku faham kesedihan yang bersarang dihatinya sebab aku merasakan perasaan yang sama. Tapi sebab aku bertekad untuk selesaikan hal ini demi ketenangan emosinya juga, mak aku akhirnya setuju.
Aku tak faham sebenarnya, kenapa manusia lapar harta. Kerana harta semuanya berantakan. Belum masuk kes sampai menyampai yang tambah membarahkan keadaan. Nilai tanah itu tak banyak mana. Kalau dibahagi 8 bahagian, setiap seorang dapat lebih kurang nilainya deposit sebuah rumah teres 1 tingkat. Ya, itulah nilainya yang menyebabkan semuanya berkecamuk.
Kami dinasihatkan membawa kes ini ke mahkamah tinggi, atas nama pembelaan. Tapi aku bertekad, aku tak akan menyusahkan hidup kami sekeluarga hanya kerana wang ringgit yang aku bole habiskan dalam jangkasama 1 minggu. Kalau nilainya paling kurang RM3 juta, layaklah kami berkapak-kapak mendapatkannya.
Siapa benar siapa salah di sini tak penting. Mahkamah dunia hanya boleh membuat keputusan berdasarkan bukti. Tetapi mahkamah akhirat membuat keputusan berdasarkan hak. Hak yang tidak boleh dipertikaikan oleh manusia biasa.
Cepatlah kemelut ini berakhir..Aku dah tak kuasa nak bertekak mengenainya.
No comments:
Post a Comment