Aku memulakan hari dengan menyiapkan Agenda Mesyuarat. Hari ini, para artis yang terlibat dalam Raya Khas Selamat Pagi Malaysia datang ke RTM untuk rehearsal. Antara yang terlibat ialah Ibnor Riza, One May, Royce Sa'yan, Rozita Rohaizad, Kumpulan Flava, Shari AF1, Amelia AF3, Juril (Duta)dan Eileen. Pengacara bertuah pula kesemuanya kesayangan aku...(Cheh, pengacara mana yang aku tak sayang?) Zamzarina, Shuhaimi, Iesya dan Hisham Salleh...inilah 4 anchor yang aku harap memberi persembahan terbaik pada siaran Raya Ke-3 nanti..
Rehersal berjalan lancar..Aku lebihkan rehearsal audio kerana aku tak pernah bersiaran di Studio 1 sejak semuanya fully digitalized. Tinggi giler monitor di situ sampai naik kejung urat leher mendongan sepanjang masa. Tengah sibuk-sibuk rehearsal, Datuk KSU-Datuk Kamaruddin Siaraf membuat kunjungan terkejut. Mujur Datuk berpuashati dengan artis, lagu yang dipilih dan pengacara yang ada. Aku sempat bergelak ketawa dengan Datuk dalam kesibukan sampaikan semuanya hairan. Maklum, Datuk seorang yang garang dan tegas. Tapi aku tak buat salah..In fact Datuk memberi komen tentang beberapa aspek seperti set dan warna untuk perhatian aku. Dan biasalah, bila Datuk datang, maka secara tak sedar penuh pula galeri dengan orang itu dan ini..Ahaks!
Selesai rehearsal, aku sibuk menyiapkan goodies bag dan duit raya. Sejak seminggu ini, aku terharu amat dengan sumbangan yang berjaya kami dapat, terutama sumbangan duit raya untuk anak yatim. Aku sudah emosi sejak lama yang ditahankan. Setidaknya, ada juga serpihan pahala menggembirakan anak yatim, golongan kurang upaya dan Rumah Amal Kuang untuk bekalan aku...yang telah pun aku 'transfer' untuk arwah abah niatnya. Semoga sumbangan tak seberapa ini diterima Allah dan semoga arwah abah mendapat bias pahalanya - Amin!
***
Sudah beberapa hari juga rindu pada arwah abah seolah tak terbendung. Saban malam aku menangis sendiri selepas Al-Fatihah dikirim. Tahun ini aku dan Hadi akan beraya di Melaka. Jadi aku telah bertekad hari ini aku akan mengunjungi pusara abah di Tanah Perkuburan AU 4.
Jam 6.00 petang.....Kereta Hadi menyusur perlahan di sini jalan. Aku tahu kubur abah yang mana kerana adanya pintu pagar sebagai penanda. Masalahnya, tadi ada hampir 7 pintu pagar buatan sendiri yang membuat aku confuse. Nasib baik Aisyah menemani kami dan menunjukkan pagar mana nak masuk. Kubur abah senang diingat..Hanya 2 pusara dari pintu tadi. Itu mungkin rezeki seorang manusia yang hayatnya berkhidmat untuk masyarakat..
Salam diberi dan langkah kami sangat perlahan. Bersama Hadi, kami membaca surah Yasin dalam keadaan angin petang begitu sayu sekali..seperti memahami apa yang aku rasa. Baru beberapa baris, airmata aku gugur..terutamanya apabila perkataan BAINI aku lafazkan...Baini adalah nama yang abah dapat dalam mimpi..Baini juga dinamakan aku dan Baini juga yang membaca Yasin dipusara itu....
Setelah itu,pusara abah kami sirami dengan air yasin dan hirisan daun pandan..Persekitaran kubur abah sangat harum dan pokok tumbuh dengan mekarnya. Ya, didalamnya sisa-sisa dan tulang-temulang arwah sebagai zat untuk tumbuhan itu mekar dan membesar.Di luarnya titisan airmata aku gugur seperti gugurnya daun pandan aku lepaskan ke pusara. Seolah baru semalam arwah disemadikan dan tika itu aku orang terakhir meninggalkan dia sebelum malaikat datang menyapa.
Aku duduk bisu..mengusap batu dan membelai dedaunan yang ada. Hadi juga diam tanpa kata..Sebelum pusara aku tinggalkan, sekali lagi Al-Fatehah mengiringi. Bilakala dingin batu nesan itu aku kucup, sedingin itu juga kucupan terakhir aku kepadanya sebelum dia dikafankan..Ya, airmata aku gugur lagi tanpa syarat..
Abah, selamat hari raya...I miss u so much and it really hurt. Sepanjang Ramadhan, aku terasa kau hadir tapi yang kucapai hanyalah angin lalu...
u've been tagged!!!
ReplyDelete